Jurnal Pendidikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan
Latest Publications


TOTAL DOCUMENTS

25
(FIVE YEARS 0)

H-INDEX

0
(FIVE YEARS 0)

Published By Universiti Pendidikan Sultan Idris

2289-3032, 2550-178x

2019 ◽  
Vol 8 ◽  
pp. 33-41
Author(s):  
Abdul Halim Masnan ◽  
Nur Ellina Anthony ◽  
Nur Arifah Syahindah Zainudin

Model pengajaran berkualiti guru mengandungi beberapa elemen yang penting seperti pengetahuan, kemahiran dan sikap pengajaran. Kajian ini bertujuan untuk mengetahui pengetahuan pengajaran dalam kalangan guru prasekolah. Reka bentuk kajian yang digunakan ialah kajian campuran kuantitatif dan kualitatif. Intrumen yang digunakan ialah soal selidik, temu bual berstruktur dan analisis dokumen. Seramai 50 orang guru prasekolah merangkumi 25 orang guru prasekolah dari tadika swasta dan 25 orang guru prasekolah dari tadika kerajaan menjawab soal selidik, dan dua orang guru prasekolah terlibat dalam sesi temu bual. Responden kajian diperoleh menggunakan persampelan rawak bertujuan. Dapatan kajian menunjukkan 56% guru prasekolah memberi penekanan kepada sesuatu kaedah pengajaran, dan 44% guru prasekolah mempelbagaikan kaedah pengajaran untuk membantu kanak-kanak memahami isi pelajaran. Selain itu, guru prasekolah memilih kaedah pengajaran yang sesuai bagi memenuhi keperluan pembelajaran kanak-kanak (56%), dan memenuhi keperluan pembelajaran secara berkumpulan (54%). Kaedah pengajaran yang sesuai digunakan oleh guru prasekolah supaya dapat merangsang dan mengekalkan perhatian kanak-kanak (56%), serta meningkatkan prestasi pencapaian kanak-kanak (60%). Hasil temu bual mendapati pengetahuan guru prasekolah semakin bertambah seiring dengan jangka masa pengalaman mereka menceburi bidang pendidikan awal kanak-kanak. Dari segi analisis dokumen, pengkaji mendapati rancangan pengajaran harian guru prasekolah adalah kemas, menarik dan ringkas. Secara keseluruhannya, guru prasekolah mempunyai pengetahuan pengajaran yang baik, dan seterusnya dapat memberi impak yang positif dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di prasekolah.


2019 ◽  
Vol 8 ◽  
pp. 24-32
Author(s):  
Suppiah Nachiappan ◽  
Irna Patricia Julia ◽  
Norazilawati Abdullah ◽  
Sangkari Chandra Sehgar ◽  
Sandra Suffian ◽  
...  

Kajian ini bertujuan meneroka pelaksanaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) oleh guru dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) di tadika. Kajian ini dijalankan dalam bentuk kualitatif dengan menggunakan kaedah Hermeneutik dalam menganalisis dua belas sampel Rancangan Pengajaran Harian (RPH) sebagai teks, dan diinterpretasikan ke dalam bentuk metateks bagi memperoleh dapatan kajian. Sampel kajian dikumpul dari sebuah tadika swasta yang terletak di Ipoh, Perak. Kaedah Hermeneutik dapat mentafsir pengajaran guru sama ada mempunyai perkaitan dengan pelaksanaan KBAT, atau sebaliknya. Dapatan kajian menunjukkan guru sememangnya melaksanakan KBAT dalam PdP mereka di tadika. Antara elemen KBAT yang dilaksanakan oleh guru dalam PdP mereka ialah kemahiran mencerakinkan maklumat, menyiasat, mengaplikasi, menggambarkan, dan mengelaskan. Oleh itu, semoga pelaksanaan KBAT yang diamalkan guru dalam PdP mereka di tadika dapat membantu kanak-kanak untuk menguasai KBAT dengan baik.


2019 ◽  
Vol 8 ◽  
pp. 1-7
Author(s):  
Hazhari Ismail ◽  
Mohamad Albaree Abdul ◽  
Iylia Mohamad

The art education is seen as important in children’s early childhood education and it is extensively acknowledged. This study emphasizes the value of Islamic visual art among preschool children and explores the methods of teaching art in preschools as well as on the approaches used to support the children’s learning, particularly on the development of social skills. The method was intended to consider the implications of Islamic visual art education in a qualitative view. Classroom structured observations were conducted mainly on the Islamic visual art painting and drawing activities among children participating in Islamic visual art activities to gauge the social skills development in the children according to their age level by referring four main attributes in social skills; communication, group, support and conflict resolution. The identified emerging findings include the importance of Islamic visual art education in order to develop social skills for children and in considering the positive relationship between children and teachers to support children’s development in their early childhood settings. Hence, Islamic visual art activities could be considered an essential tool of the pedagogy in addressing problems regarding children’s development and learning in early childhood, where the revision of art curriculum is required across the subject and holistic development of children.


2019 ◽  
Vol 8 ◽  
pp. 8-16
Author(s):  
Connie Shin @ Connie Cassy Ompok ◽  
Juppri Bacotang

Kajian ini bertujuan mengenal pasti kesan kaedah mengajar seperti permainan, buku nombor dan lembaran kerja terhadap pencapaian awal matematik yang merangkumi aras pengetahuan, kefahaman dan aplikasi dalam kalangan kanak-kanak prasekolah. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif yang berbentuk kaedah kuasi experimen. Kajian ini melibatkan 1107 orang kanak-kanak prasekolah sebagai sampel, dan menggunakan instrumen Test of Early Mathematics Ability untuk mengumpul data. Data dianalisis melalui statistik deskriptif dan statistik inferensi menggunakan ujian MANCOVA. Dapatan kajian menunjukkan tiga kaedah mengajar, iaitu permainan, buku nombor dan lembaran kerja dapat meningkatkan pencapaian awal matematik kanak-kanak prasekolah. Namun begitu, pengkaji mendapati kaedah mengajar hanya memberi kesan secara signifikan terhadap kefahaman dan analisis awal matematik kanak-kanak prasekolah. Selain itu, kaedah permainan menunjukkan pencapaian awal matematik kanak-kanak prasekolah yang paling tinggi, diikuti dengan kaedah lembaran kerja dan kaedah buku nombor. Justeru, kaedah mengajar yang berteraskan permainan perlu digunakan oleh pendidik dengan sebaik mungkin untuk meningkatkan pencapaian awal matematik kanak-kanak prasekolah.


2019 ◽  
Vol 8 ◽  
pp. 17-23
Author(s):  
Mohamad Albaree Abdul ◽  
Hazhari Ismail ◽  
Iylia Mohamad ◽  
Zaharah Osman

Kanak-kanak sering berhadapan dengan masalah untuk mengurus dan mengawal emosi dengan baik. Isu ini kurang mendapat perhatian dalam kalangan orang dewasa yang menyebabkan kanak-kanak sering menunjukkan tingkah laku tidak terkawal, tekanan, dan kemurungan. Melalui pengajaran berasaskan aktiviti muzik, emosi kanak-kanak dapat dibentuk dengan baik. Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti perkembangan emosi kanak-kanak menggunakan kaedah pengajaran berasaskan aktiviti muzik di sebuah tadika di Puncak Alam, Selangor. Reka bentuk kajian ini adalah penyelidikan secara kualitatif yang berbentuk kajian kes. Sampel kajian melibatkan enam orang kanak-kanak yang terdiri daripada tiga orang kanak-kanak lelaki dan tiga orang kanak-kanak perempuan yang berumur lima tahun, dan seorang guru tadika. Instrumen kajian ialah borang senarai semak untuk mengenal pasti perkembangan emosi kanak-kanak sebelum, semasa dan selepas pelaksanaan aktiviti pengajaran muzik, dan soalan temu bual untuk mendapatkan pandangan guru terhadap perkembangan emosi kanak-kanak menggunakan kaedah pengajaran berasaskan aktiviti muzik. Dapatan kajian menunjukkan pelaksanaan kaedah pengajaran berasaskan aktiviti muzik memberi impak yang positif dalam membantu perkembangan emosi kanak-kanak. Oleh itu, kaedah pengajaran berasaskan aktiviti muzik wajar digunakan oleh guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi membantu kanak-kanak mencapai perkembangan emosi yang memuaskan.


2018 ◽  
Vol 7 ◽  
pp. 59-69
Author(s):  
Ani Omar

Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti keberkesanan bahan sastera yang boleh dijadikan sebagai terapi untuk murid-murid sekolah dalam hospital (SDH). Kajian ini melibatkan sebuah SDH yang terpilih di semenanjung Malaysia. Bahan bacaan sastera yang digunakan dalam kajian ini meliputi lima buah buku cerita karya Khadijah Hashim yang berjudul Cerita Itik dan Buaya, Semut Melancong ke Pulau Pinang, Angsa Berjasa, Ikan Emas Mangsa Banjir dan Sedap Rumput Enak Lagi Lobak. Biblioterapi kaedah didik hibur akan dijalankan menggunakan buku cerita yang berkenaan. Lima orang kanak-kanak terlibat dalam kajian ini berumur antara 5 hingga 6 tahun. Penyelidik juga menggunakan kaedah permerhatian, temu bual, dan kajian kepustakaan. Nama hospital, identiti murid-murid yang terlibat serta guru dan lain-lain yang berkaitan dengannya tidak dinyatakan kerana ia berkaitan dengan etika yang perlu dipatuhi. Begitu juga dengan bahan bukti seperti video atau gambar tidak dapat disertakan dalam artikel ini kerana mematuhi prosedur yang telah ditetapkan. Sehubungan dengan itu bahan bacaan karya sastera yang digunakan secara biblioterapi untuk kanak-kanak sekolah dalam hospital bertujuan memotivasikan mereka supaya terus berminat dalam pelajaran walaupun dalam masa yang sama mereka sedang dirawat. Bersesuaian dengan keadaan mereka yang sedang sakit dalam masa yang sama ingin belajar kaedah didik hibur diaplikasikan supaya kesannya sebagai terapi lebih memuaskan. Kajian mendapati penerapan nilai-nilai positif melalui karya sastera mampu mendorong kanak-kanak SDH untuk membaca dan menghayatinya selain memberi kesan yang baik dari aspek perkembangan bahasa dan komunikasi, kognitif serta personaliti. Selain daripada itu biblioterapi kaedah didik hibur dapat membantu kanak-kanak untuk menerima kenyataan dan meningkatkan pencapaian akademik mereka. Implikasi daripada kajian ini mendapati bahawa penghasilan karya sastera kanak-kanak yang berkualiti dan menarik bukan sahaja dapat memberikan kesan positif malah dapat bertindak sebagai terapi kepada kanak-kanak SDH.


2018 ◽  
Vol 7 ◽  
pp. 83-100
Author(s):  
Tham Hou Yin

Kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti tahap kepuasan ibu bapa terhadap kualiti pendidikan prasekolah di daerah Maran, Pahang. Kajian ini juga menentukan perbezaan di antara tahap kepuasan ibu bapa terhadap kualiti pendidikan prasekolah dengan berdasarkan faktor jenis prasekolah, jantina, tahap pendidikan dan pendapatan. Teori Expectancy-Disconfirmation telah digunakan sebagai teori asas kajian ini. Ia disokong oleh model Harris Interactive Poll Organization. Pendekatan kuantitatif dengan reka bentuk kajian tinjauan deskriptif digunakan dalam kajian ini. Pemilihan subjek kajian dijalankan secara persampelan rawak berlapis melibatkan 148 orang ibu bapa, di mana 74 orang ibu bapa dipilih dari tiga buah prasekolah KPM dan 74 orang ibu bapa dipilih dari tiga buah prasekolah swasta di daerah Maran. Daripada 74 orang ibu bapa dari prasekolah KPM dan prasekolah swasta masing-masing, 37 orang ibu dan 37 orang bapa dipilih sebagai sampel secara rawak. Data dikumpul menggunakan soal selidik skala Likert empat mata. Sebelum pengumpulan data, instrumen diuji di sebuah prasekolah KPM dan sebuah prasekolah swasta di daerah Maran untuk memastikan kesahan dan kebolehpercayaan. Data yang dikumpul dianalisis dengan menggunakan perisian Statistical Package for the Social Science (SPSS) versi 23.0. Data dianalisis dengan menggunakan analisis deskriptif dan inferensi. Analisis deskriptif menjelaskan tahap kepuasan ibu bapa terhadap kualiti pendidikan prasekolah, manakala analisis inferensi melibatkan ujian t sampel bebas dan ujian Anova sehala yang menerangkan perbezaan antara tahap kepuasan ibu bapa terhadap kualiti pendidikan prasekolah dengan faktor demografi. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap kepuasan ibu bapa terhadap kualiti pendidikan prasekolah adalah tinggi. Ujian t sampel bebas menunjukkan terdapat perbezaan signifikan di antara tahap kepuasan ibu bapa dengan jenis prasekolah tetapi tidak terdapat perbezaan signifikan di antara tahap kepuasan ibu bapa dengan faktor jantina. Analisis Anova sehala pula menunjukkan tidak terdapat perbezaan signifikan di antara tahap kepuasan ibu bapa dengan tahap pendidikan dan pendapatan ibu bapa. Kesimpulan daripada kajian menunjukkan bahawa ibu bapa sangat berpuas hati dengan kualiti pendidikan prasekolah yang diberikan kepada anak-anak mereka di daerah Maran, Pahang dengan skor min keseluruhan 3.23. Kajian ini mencadangkan agar kerajaan dan pihak berkepentingan mengambil langkah untuk meningkatkan lagi kualiti pendidikan prasekolah dan memperuntukkan sumber untuk memenuhi tuntutan ibu bapa.


2018 ◽  
Vol 7 ◽  
pp. 70-82
Author(s):  
Mohammad Taufiq Abdul Ghani ◽  
Wan Ab Aziz Wan Daud

Pembelajaran bahasa penting untuk pendidikan awal kanak-kanak di negara yang pelbagai budaya seperti Malaysia. Justeru, guru prasekolah memainkan peranan penting dalam melaksanakan pendidikan pembelajaran bahasa di dalam kelas. Pembelajaran bahasa, khususnya bahasa Arab telah mendapat perhatian dalam kalangan pendidik pada masa kini. Oleh itu, penyelidikan ini menerangkan keperluan dan kepentingan bahasa Arab dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Soal selidik telah digunakan sebagai instrumen untuk mengumpul data. Borang Soal selidik tertutup telah diedarkan kepada 80 orang pelajar yang mengikuti kursus diploma dalam pendidikan awal kanak-kanak di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), Kota Bharu, Kelantan manakala boring soal selidik terbuka telah diedarkan kepada tujuh (7) orang guru prasekolah di Kota Bharu untuk meneroka kepentingan bahasa Arab dalam kalangan pendidik kanak-kanak. Analisis kuantitatif deskriptif digunakan untuk menganalisis data melalui penggunaan perisian statistik IBM SPSS. Secara keseluruhannya hasil kajian mendapati bahawa keupayaan untuk memahami istilah-istilah asas yang berkaitan dengan pendidikan awal kanak-kanak merupakan salah satu keperluan yang penting bagi pelajar pendidikan awal kanak-kanak di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM). Keadaan ini berlaku kerana istilah berkenaan digunakan oleh pelajar-pelajar dalam pengajian dan di alam pekerjaan kerana mereka dikehendaki mengajar bahasa Arab di prasekolah. Di samping itu, kemahiran bahasa Arab juga memberikan kelebihan dan nilai tambah kepada mereka kerana dapat meningkatkan kemahiran komunikasi seterusnya dapat mengaplikasikannya dalam pengendalian kelas.


2018 ◽  
Vol 7 ◽  
pp. 50-58
Author(s):  
Nor Aimi Hj. Harun ◽  
Fauziah Md. Jaafar

Golongan kanak-kanak dan remaja turut berhadapan dengan pengaruh stres dan ianya merupakan ancaman yang serius dalam kalangan murid sekolah. Kajian kes kualitatif ini dilaksanakan untuk mengenal pasti kewujudan dan simptom stres dalam kalangan murid prasekolah Orang Asli. Sampel kajian melibatkan seorang kanak-kanak prasekolah orang asli. Instrumen pengumpulan data yang digunakan dalam kajian ini adalah protokol temu bual, senarai semak, pemerhatian dan dokumen. Data transkrip dianalisis dengan menggunakan perisian Nvivo 0.8. Dapatan menunjukkan subjek kajian mengalami stres di tahap skor75 mata berdasarkan Instrumen Pengukuran Stres: Child and Adolescent Survey of Experiences (CASE). Simptom stres yang ditunjukkan oleh subjek kajian adalah masalah Onychophagia. Simptom Onychophagia merupakan habit menggigit kuku dan ia merupakan masalah psiko-emosi (psycho emotional) berkait dengan stres. Kanak-kanak tersebut melakukan tindakan menggigit kuku sewaktu berada dalam tertekan dan tindakan tersebut memberi kesan kepada kesihatan anggota tangan dan amat mempengaruhi perkembangan fisiologi, psikologi dan tingkah laku. Kajian ini memberi implikasi kepada guru-guru prasekolah, ibu bapa dan stakeholder secara proaktif dan kolektif bagi membangunkan strategi daya tindak (coping skills) untuk kanak-kanak orang asli yang mengalami stres.


2018 ◽  
Vol 7 ◽  
pp. 19-29
Author(s):  
Norjietta Julita Taisin

Keupayaan menghasilkan karya seni dalam kalangan kanak-kanak merupakan interaksi secara tidak langsung mereka dengan alam sekeliling serta dapat mengembangkan keupayaan mereka dalam membuat tafsiran melalui persekitaran mereka. Hasil seni merupakan penjelmaan beberapa bahagian nilai dan sikap. Oleh itu untuk melaksanakannya harus melihat keberkesanan aktiviti melukis dalam meningkatkan keyakinan diri dalam kalangan kanak-kanak. Huraian ini diketengahkan dengan menggunakan reka bentuk kualitatif untuk mengumpul data iaitu melalui pemerhatian dalam kelas, pemerhatian penilaian hasil kerja seni dan alatan bahan yang digunakan oleh kanak-kanak dalam karya seni mereka. Hasil kajian tersebut mendapati bahawa aktiviti melukis mampu mengimbangi hubungan komunikasi antara murid dengan rakan sebaya serta meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak yang berterusan. Aktiviti melukis dapat memberi kepuasan kanak-kanak dalam meluahkan apa yang dilihat dan mereka pindahkan semula dalam bentuk dan rupa imej yang unik mengikut tahap pemahaman mereka. Justeru keyakinan diri terbina apabila kanak-kanak mampu melukis tanpa ragu-ragu dan tidak bimbang memikirkan soal kecantikan karya seni mereka. Melalui aktiviti melukis menggalakkan kanak-kanak untuk bercerita mengenai karya mereka dalam membina keyakinan diri untuk mereka bertutur dan seterusnya dapat meningkatkan sensitiviti pancaindera mereka.


Sign in / Sign up

Export Citation Format

Share Document